MELAKA – Mayat seorang lelaki yang juga pengawal keselamatan ditemui mereput di dalam asrama tempatnya bekerja dipercayai telah meninggal dunia kira-kira empat hari sejak Khamis lalu di sebuah kolej di Ayer Keroh, di sini.
Mangsa yang berusia 46 tahun dan berasal dari Sabah itu ditemui oleh rakan sekerjanya kira-kira pukul 2.30 petang semalam dalam keadaan tertiarap di lantai.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati rakan mangsa telah datang ke lokasi bagi memeriksa keadaan mangsa dan membawa makanan selepas dimaklumkan tidak sihat.
“Menurut rakannya, kali terakhir dia berjumpa rakannya itu adalah pada Rabu lalu selepas lelaki itu memberitahu tidak sihat dan mengambil cuti sakit selama dua hari sehingga Jumaat.
“Mangsa bagaimanapun tidak datang bekerja semalam dan rakannya itu telah ke asrama untuk memeriksaan keadaannya sebelum menjumpai mayat lelaki itu dalam keadaan mereput,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, mangsa sebelum ini ada memberitahu rakannya dia menghidap penyakit kencing manis.
“Mangsa telah bekerja di situ sejak 2019 dengan tempoh syif bertugas lapan jam sehari selama enam hari, manakala cuti kelepasan sehari.
“Menurut rakannya, mangsa yang merupakan anak sulung daripada lima beradik tinggal berseorangan di Melaka dan tidak mempunyai musuh. Siasatan di lokasi juga tidak menemui sebarang kesan perbuatan jenayah,” ujarnya.
Christopher berkata, hasil proses bedah siasat dijalankan Jabatan Forensik Hospital Melaka mengesahkan kematian adalah disebabkan oleh Coronary Ahterosclerosis (mayat mereput) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-KOSMO! ONLINE