LUMUT – Polis mengesahkan menerima aduan seorang pemilik kenderaan mengenai kecurian dua unit tayar keretanya yang diparkir di tempat letak kereta berbayar di Marina Island, Teluk Muroh di sini yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman, memberitahu kejadian hanya disedari pemilik kereta jenis Honda City itu kira-kira pukul 3 petang kelmarin.
Jelasnya, mangsa meletakkan keretanya di situ sejak 14 November lalu kerana menaiki feri dari jeti di lokasi tersebut untuk ke Pulau Pangkor.
“Mangsa yang berada di Pulau Pangkor, telah menerima panggilan telefon dari rakannya memaklumkan kehilangan dua unit tayar bahagian belakang keretanya dan kerugian dianggarkan kira-kira RM2,000 ,” jelas beliau di sini semalam. – KOSMO! ONLINE