KUALA LUMPUR – Seperti dijangka, pasukan Sabah FC tidak mempunyai masalah untuk meletakkan sebelah kaki ke pusingan suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan PT Athletic 4-0 dalam aksi pertama pusingan 16 sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu, skuad Sang Badak meraih gol seawal minit ke-13 hasil jaringan Saddil Ramdani.
Gol tersebut menaikkan semangat pelawat yang berjaya meraih gol kedua menerusi penyudah Danial Haqim Draman berselang enam minit kemudian.
Penyerang berpengalaman PT Athletic, Indra Putra Mahayuddin berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-58, tetapi gol itu dibatalkan kerana ofsaid selepas pengadil meneliti sistem video bantuan pengadil (VAR).
Tonggak berpengalaman, Daniel Ting menambah derita tuan rumah dengan meledak gol ketiga pada minit ke-78 sebelum Sang Badak meraih jaringan keempat selepas rembatan Ummareng Bacok ditampan pertahanan PT Athletic, Yusri Yuhasmadi.
Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan dengan aksi kedua akan berlangsung di venue sama pada Rabu depan.
Ini adalah perlawanan terakhir buat Sabah FC bersama ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang sah tidak akan bersama pasukan selepas kontrak berakhir pada penghujung bulan ini. – KOSMO! ONLINE