fbpx

[VIDEO] ‘Tangan mereka pucat sejuk macam mayat, perut luka digigit ikan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chai (gambar kecil) menceritakan pengalaman bersama rakannya menyelamatkan empat nelayan Indonesia yang hanyut empat hari dari perairan negara mereka.

PETALING JAYA – “Pegang tangan mereka sejuknya macam pegang tangan mayat. Kulit mengelupas semua. Salah seorang penuh kesan patukan ikan, sampai bernanah warna putih merah,” demikian cerita seorang pengguna TikTok, Chai Fishing mengenai pengalamannya menyelamatkan empat nelayan Indonesia baru-baru ini.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik pemancing tersebut, empat nelayan itu dikatakan hanyut dari perairan Indonesia hingga ke Pulau Jarak kira-kira empat hari selepas bot mereka didakwa dilanggar oleh sebuah kapal yang menyebabkannya karam.

Chai berkata, pada mulanya dia bersama rakan serta tekong bot mahu ke bahagian ‘International Water’ untuk aktiviti memancing, namun disebabkan keadaan laut yang bergelora, mereka merancang bermalam di Pulau Jarak.

“Sebelum mula memancing, nampak mereka. Kami sangka geng ‘navy’ (tentera laut) buat latihan renang sebab mereka nampak pakai serba hitam. Dua tiga kali saya perhati, nampak seorang melambai. Kali kedua, dua orang lambai dan dua lagi mungkin tak larat.

“Panggil tekong dan kami terus ke sana. Masa sampai, nampak mereka macam pegang tong. Ingatkan mereka hanyut lepas turun dari bot nelayan yang ada berdekatan Pulau Jarak.

“Masa mereka angkat tangan, memang pucat habis. Dalam kepala saya fikir, mesti bot karam. Putih sangat tangan,” katanya pada video tersebut.

Chai berkata, berdasarkan penceritaan nelayan Indonesia tersebut, sebenarnya terdapat enam orang di atas bot, namun dua daripada mereka tidak dapat bertahan dan menjadi korban.

“Kalau tak percaya dia orang hanyut empat hari, terpulanglah. Tapi melihat keadaan mereka macam tu, aku percaya. Salah seorang yang meninggal ialah anak kapten (ketua). Kapten umur 60-an (selamat), anak meninggal hanyut lemas.

“Paling tak boleh tahan, mereka salam cium tangan kami dengan penuh rasa kesyukuran. Memang sebak, empat hari hanyut kat laut tanpa nasi, makanan dan minuman.

“Apa yang mereka cerita, dua daripada mereka dah nak putus asa. Lepas tu dengar panggilan ayah (anak mereka), jadi semangat nak bertahan kat laut,” katanya.

Ujarnya, kesemua nelayan itu memaklumkan terdapat banyak bot lalu-lalang di kawasan itu, namun tidak menyedari kehadiran mereka di situ.

“Mereka tak habis-habis ucap terima kasih. Banyak bot lalu-lalang satu bot pun tak perasan. Naik bot pun mereka sujud syukur,” katanya.

Tambahnya, empat nelayan indonesia itu turut diberi makanan dan minuman sebelum diserahkan kepada pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk tindakan selanjutnya.

Kelmarin Kosmo! melaporkan, TLDM menyelamatkan empat nelayan asing dari Tanjung Balai, Indonesia yang hanyut selama beberapa hari di perairan Selat Melaka.

Kesemua nelayan itu hanyut selepas bot dinaiki mereka karam akibat dilanggar kapal dagang ketika menangkap ikan di perairan Indonesia.

Menurut Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut, mangsa ditemui oleh bot nelayan tempatan berhampiran perairan Pulau Jarak pada pukul 1.40 tengah hari. – KOSMO! ONLINE

@chaifishing_ Trip memancing di Pulau Jarak berakhir dengan kisah yang duka. Difahamkan bot nelayan Indonesia tersebut dilanggar kapal tanker di sekitar ‘ International Water ‘ sebelum depa hanyut ke Pulau Jarak selama empat hari. Tiada makan, tiada minum selama empat hari. Ada enam nyawa di atas bot tetapi hanya empat orang yang berjaya hanyut ke Pulau Jarak #chaifishing #fyp #foryou #xyzbca ♬ original sound – CHAI Fishing

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI