fbpx

Hutang AJL Aisha Retno ‘makan diri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ATAS nasihat peguam, Aisha Retno kini menunggu makluman proses seterusnya berhubung tuntutan pihak Kharisma Music.

KEMELUT antara penyanyi Aisha Retno dengan Kharisma Music International membahang usai pembatalan konsert Malam Sutera Aisha Retno pada saat akhir iaitu seminggu sebelum persembahan mega itu yang sepatutnya berlangsung 16 November lalu.

Kedua-dua pihak berbalas kenyataan biarpun pada awalnya, pemenang Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) itu hanya bungkam sebaik penganjur juga penyanyi Indonesia, Yuka Kharisma membuat pengumuman mengejut itu.

Jualan tiket yang sangat perlahan antara punca penganjur terpaksa mengambil keputusan tersebut selain menegaskan mereka tiada perancangan menunda ke tarikh lain.

Selepas Aisha mendakwa tidak dimaklumkan mengenai pembatalan, Yuka tampil membongkar cerita sebenar sekali gus menuntut baki sebanyak RM77,000 daripada Aisha Retno yang didakwa dipinjam ketika bertanding di pentas AJL38, Mac lalu.

Ungkapnya, itu adalah baki daripada anggaran RM83,000 yang dipinjamkan kepada penyanyi lagu Sutera itu untuk digunakan dalam pertandingan tersebut.

“Kami menuntut anggaran RM83,000, ditolak RM6,000 jumlah yang sudah dia bayar. Jadi, bakinya RM77,000,” katanya.

Pinjaman, bukan dana

Yuka berkata, pinjaman berkenaan awalnya dirancang untuk dilunaskan melalui penganjuran konsert Malam Sutera Aisha Retno yang sepatutnya berlangsung pada 16 November lalu, tetapi dibatalkan.

“Tiada tuntutan untuk kerugian lain seperti lokasi acara, iklan dan sebagainya malah kerugian membabitkan penaja yang menarik diri juga kami takkan tuntut. Kerugian keseluruhan kira-kira RM150,000,” katanya.

Ulasnya lagi, jumlah yang dipersetujui itu adalah pendahuluan (bayaran advance) namun khidmat mereka dalam AJL38 sebagai pengarah persembahan, bukan dana.

“Wang tersebut adalah pendahuluan dalam bentuk pinjaman,” ujarnya yang mengakui pembatalan turut menjejaskan pekerja syarikat.

Di pihak Aisha pula, dia akan menyerahkan kepada peguam untuk menyelesaikan isu berkenaan apatah lagi Kharisma Music menerusi peguamnya menuntut penyanyi itu menarik balik kenyataan serta video dan buat permohonan maaf.

Akuinya setakat ini pihaknya belum menerima sebarang panggilan telefon daripada syarikat guaman mewakili Kharisma Music berikutan tuntutan berjumlah RM77,000.

Terkejut buat sidang media

Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, juga memaklumkan turut terkejut dengan sidang media yang dilakukan mereka, baru-baru ini.

“Pihak penganjur tidak menghubungi saya sebelum ini dan tiba-tiba adakan sidang media. Peguam mereka pun belum hubungi saya,” katanya.

Naib Juara AJL38 itu juga lebih selesa tidak mengulas lanjut sebarang persoalan susulan sebelum mendapatkan nasihat peguam.

Biar apa pun yang bakal terjadi selepas ini, sudah pasti paling terkesan adalah Aisha sendiri kerana pembatalan dilakukan pastinya memberi persepsi negatif terhadap kerjayanya.

Walau ramai memberi sokongan moral, tidak kurang yang menuduhnya sebagai kuat berangan, Aisha tetap berpegang pada janjinya.
Keberaniannya tetap dipuji ramai penghibur senior sekali gus menunjukkan kesungguhannya tampil dalam pentas mega secara solo.

Cuma apa yang menjadi perdebatan adalah kesanggupannya berhutang andai itu benar seperti didakwa Yuka semata-mata mahu membuktikan bakat generasi baharu juga layak mengadakan konsert.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI