RIYADH – Saham kapten Portugal, Cristiano Ronaldo kembali melonjak di kala dia sudah pun memasuki tujuh bulan terakhir kontrak bersama pasukan Liga Pro Arab Saudi (SPL), Al-Nassr.
Berdasarkan peraturan, mana-mana pemain yang memasuki enam bulan terakhir kontrak bersama pasukan masing-masing, mereka bebas untuk melakukan rundingan dengan mana-mana pasukan berminat.
Ronaldo tidak terkecuali dengan situasi itu apabila beberapa pasukan sudah mula menunjukkan minat bagi mendapatkan khidmatnya meskipun usianya akan menjengah ke angka 40 menjelang Februari tahun depan.
Difahamkan, antara pasukan berminat adalah kelab Turki, Fenerbahce yang berada di bawah bimbingan Jose Mourinho dan dikatakan jurulatih berkenaan sudah pun menghubungi Ronaldo bagi membincangkan urusan perpindahan.
“Adakah anda gembira berada di sana? Ada spekulasi yang mendakwa anda mahu keluar. Jika benar, adakah anda mahu menyertai saya di Fenerbahce?,” kata Mourinho seperti yang didakwa beberapa pihak.
Pada masa sama, spekulasi itu bertambah panas apabila Pengarah Bola Sepak Fenerbahce, Mario Branco sudah pun mengadakan pertemuan dengan Ronaldo dan ejennya, Jorge Mendes bagi memulakan rundingan.
Sekiranya perpindahan itu menjadi kenyataan, Ronaldo akan kembali bergandingan bersama Mourinho, sama seperti ketika kedua-duanya berada di Real Madrid selama tiga tahun bermula 2010 hingga 2013. – AGENSI