fbpx

Jonassen pilihan BAM kemudi skuad perseorangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JONASSEN (kanan) mengetepikan beberapa calon lain untuk dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan ABM. - AFP

KUALA LUMPUR – Persoalan mengenai siapakah ketua jurulatih perseorangan baharu skuad kebangsaan akhirnya terjawab selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pelantikan Kenneth Jonassen.

Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam berkata, jurulatih berusia 50 tahun itu bakal memulakan tugasnya secara rasmi 4 Januari tahun depan dengan lantikan kontrak selama empat tahun.

Dengan pengalaman selama 13 tahun sebagai jurulatih, badan induk sukan badminton negara itu menaruh sepenuh kepercayaan beliau mampu membantu Malaysia melahirkan lebih ramai pemain terbaik selain mencapai sasaran meraih pingat emas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“BAM berbesar hati untuk mengumumkan Kenneth Jonassen sebagai ketua jurulatih perseorangan. Beliau akan mengemudi barisan kejurulatihan untuk skuad perseorangan lelaki dan wanita di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Jonassen akan bekerjasama dengan Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan ABM) untuk program jangka panjang skuad perseorangan. Beliau memiliki rekod cukup baik dan dihormati dalam dunia badminton,” katanya selepas Mesyuarat Ahli Majlis BAM di ABM, Bukit Kiara hari ini.

Sebagai rekod, Jonassen merupakan individu bertanggungjawab mengemudi jaguh perseorangan Denmark, Viktor Axelsen memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain muncul juara dunia edisi 2017 di Glasgow, Scotland. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI