SHAH ALAM – Sarang pengedaran dan penagih dadah di ladang kelapa sawit dan belukar di tiga daerah Selangor yang kembali aktif, terus digempur polis.
Operasi dilakukan antara 11 hingga 17 November lalu melibatkan kawasan sekitar Kajang, Klang dan Kuala Langat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan menerusi Op Sarang itu dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai aktiviti tersebut dengan memberkas seramai 19 lelaki tempatan.
Katanya, kesemua berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun adalah termasuk tiga pengedar dan pembekal.
“Turut dirampas dadah jenis heroin dianggarkan seberat 11.44 gram (g), syabu (0.5g) dan 2,500 liter air ketum yang kesemuanya bernilai RM341.
“Siasatan mendapati penagih menunggu pembekal atau tokan datang menaiki motosikal untuk menjual dadah di ladang kelapa sawit dan belukar itu,” katanya hari ini.
Ujarnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan juga positif dadah. – KOSMO! ONLINE