KUALA LUMPUR – Bantuan kewangan yang telah disalurkan kerajaan kepada rakyat terutamanya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mencatatkan peningkatan sepanjang dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani.
Menjelaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan tersebut membabitkan peruntukan RM10 bilion dan ia telah dimanfaatkan oleh ramai penerima.
Malah kata beliau, selain STR, bantuan lain seperti bantuan awal persekolahan (BAP), kesihatan dan bagi golongan istimewa juga telah dipertingkatkan.
“Kalau dilihat tahun-tahun sebelum ini, dari segi bantuan kepada rakyat itu, peningkatan adalah sangat tinggi yang belum pernah dilakukan.
“Manakala dari segi angka, baik STR, bantuan untuk orang miskin, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan anak-anak yang bersekolah, ini antara bantuan yang meningkat secara pantas yang belum tercatat sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi TownHall pada Majlis Perasmian Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Refomasi Perkhidmatan Awam 2024, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE