PETALING JAYA – Pengusaha katering diingatkan berwaspada sekiranya menerima tempahan dengan modus operandi majlis pada sebelah malam melibatkan jumlah tetamu bawah 100 orang.
Menerusi perkongsian seorang pengusaha katering, Faizan Dasuki pada hantaran video TikTok, dia memaklumkan tindakan berhati-hati itu bagi memastikan pihak katerer tidak ditipu oleh scammer untuk majlis yang tidak wujud.
“Hati-hati kalau dapat tempahan ‘dinner’ dan selalunya modus operandi dia orang akan tempah makanan untuk makan malam. Jumlah tempahan tak banyak antara 80 ke 100 orang. Biasa bawah 100 iaitu dalam 80 orang. Lepas tu dia bagi harga agak tinggi RM30.
“Kalau dapat WhatsApp, ‘hai saya nak tempah untuk makan malam 80 orang, ‘available’ tak tarikh sekian, sekian’. Bila kita balas ‘available’, dia akan terus telefon kita melalui WhatsApp,” katanya.
Faizan berkata, dia sendiri berpengalaman menerima panggilan telefon daripada scammer tersebut sebanyak tiga kali dan mereka berbual menggunakan dialek Sabah.
“Dia telefon untuk dapatkan kepercayaan daripada bakal mangsa. Dia akan WhatsApp lanjut dan dalam tu, akan tulis bayaran dengan jumlah besar. Macam surat lantikan katerer.
“Scammer akan minta kita punya (nombor) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), akaun bank dan dokumen untuk buat ePerolehan. Dia akan WhatsApp LO (pesanan tempatan) dalam bentuk PDF.
“Dia suruh kita tandatangan dan cop syarikat. Bila kita serahkan semula dokumen itu, dia tahulah kita memang akan bakal kena scam,” katanya.
Bercerita lanjut, Faizan berkata, beberapa jam sebelum makanan tersebut dihantar, scammer akan menelefon pengusaha katering untuk menambah jumlah makanan selain hadiah (doorgift).
“Doorgift ni pelbagai bentuk dan yang terbaharu dia guna coklat. Doorgift ini katerer kena bayar dahulu kepada pembekal. Pembekal akan hantar kepada klien dan kita akan tuntut dalam invois jumlah makanan berserta doorgift.
“Kita boleh naikkan sekali (harga) kat situ. Di situlah scam tersebut yang mana pembekal doorgift tu adalah scammer juga,” katanya.
Ujarnya, hadiah tersebut boleh mencecah RM50 seunit dan sebagai contoh, apabila dikenakan bayaran RM10,000 untuk kesemua barangan itu, katerer yang tamak mungkin berfikir mahu menaikkan tuntutan kepada RM15,000.
“Kat situ kita kena scam. Bila kita hantar makanan yang sebenarnya tempahan tak wujud, tak ada siapa yang terima makanan. Majlis tak wujud dan LO itu pun palsu, dari situ baru kita sedar.
“Ramai dah kena dan dua minggu lepas, aku jumpa lepas habis majlis, keluar dewan dan ada katerer masuk untuk waktu malam. Dia kata tempahan dinner, sah kena scam. Betul dia memang kena scam, jadi hati-hati kalau tempahan dinner. Kena ‘double check’,” katanya. – KOSMO! ONLINE