fbpx

KPDN gempur dua premis siasat video dakwa warga asing beli minyak paket subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemeriksaan dilakukan terhadap premis restoran nasi kandar oleh pihak KPDN Selangor susulan video tular berkaitan minyak masak paket subsidi, baru-baru ini.

SUNGAI BULOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menggempur sebuah pasar raya runcit dan sebuah restoran nasi kandar di sini, selepas tular video di media sosial berhubung pembelian minyak masak paket subsidi oleh pekerja restoran tersebut.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, serbuan dimulakan dengan tujuh anggota penguatkuasa yang menyamar bagi memeriksa premis-premis terbabit.

Katanya, kedua-dua premis ini berada dalam jarak yang dekat antara satu sama lain.

“Hasil pemeriksaan terhadap pasaraya runcit mendapati rekod pembelian menunjukkan tiga pekerja restoran nasi kandar berkenaan membeli minyak masak paket 1kg, masing-masing sebanyak dua paket sahaja.

“Ini masih dalam had pembelian yang dibenarkan, dan pihak pasaraya menjelaskan bahawa pembelian dipercayai untuk kegunaan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Mohd Zuhairi, pemeriksaan lanjut di pasaraya mendapati penyimpanan stok minyak masak terkawal dan tidak melebihi had kuantiti yang ditetapkan.

“Pihak pasaraya telah diberikan peringatan untuk sentiasa mematuhi Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Mengulas lanjut, Zuhairi memaklumkan serbuan kedua di restoran nasi kandar tidak menemui sebarang stok minyak masak paket 1kg (kilogram).

Ujar beliau. pemeriksaan di dapur dan stor restoran hanya menjumpai minyak masak botol 5kg.

“Pemilik restoran dan pekerja terbabit memberi keterangan bahawa pembelian minyak masak paket tersebut adalah untuk kegunaan peribadi pekerja di rumah sewanya.

“Pemilik restoran, seorang lelaki tempatan berumur bawah 40 tahun, dan seorang pekerja warga Bangladesh yang memiliki pasport sah, telah diberikan advokasi berhubung kepatuhan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan dan undang-undang berkaitan lain,“ katanya.

Tegas Mohd Zuhairi pihaknya akan terus memantau premis-premis terbabit bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku.

Jelasnya, orang ramai turut diseru melaporkan sebarang aktiviti manipulasi atau urus niaga tidak beretika melalui saluran aduan yang disediakan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI