fbpx

Rombongan tadika pergi Petrosains naik kapal terbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar hantaran tersebut yang dimuat naik di TikTok.

PETALING JAYA – Seramai 60 kanak-kanak Tadika Muslim Juniors, Kuantan mencipta memori manis apabila mereka menaiki kapal terbang ketika menyertai lawatan sambil belajar ke Petrosains, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi sebuah perkongsian di TikTok oleh @aznia.razizan, sekumpulan kanak-kanak tadika terbabit dilihat menaiki sebuah kapal terbang dari Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan dengan penuh teruja dan senyuman.

Bagi kebanyakan mereka, ini adalah kali pertama menjejakkan kaki ke dalam pesawat, menjadikan perjalanan tersebut satu kenangan luar biasa sebelum meneroka dunia sains dan teknologi semasa lawatan di Petrosains.

Menurut pihak tadika, kos keseluruhan lawatan tersebut dianggarkan sekitar RM300 hingga RM350 setiap peserta. Kos itu meliputi tiket penerbangan pergi dan balik, perjalanan ERL dan LRT, bayaran masuk ke Petrosains serta hidangan makanan dan minuman sepanjang program.

“Pada mulanya agak risau, takut membebankan ibu bapa tapi mereka ‘sporting’. Mereka siap cakap lagi nak harapkan mereka, tak tahu lah bila dapat naik kapal terbang,” tambahnya.

Hantaran ini telah meraih perhatian pengguna media sosial yang rata-rata turut sama teruja dengan keistimewaan pengalaman tersebut dan memuji usaha pihak tadika yang menyediakan peluang unik kepada kanak-kanak itu.

“Bayangkan nanti masuk darja satu, dia boleh ‘flex’ kata pergi lawatan tadika naik kapal terbang,” komen Sabirin.

“Nampak kapal terbang dah tak boleh tahan, terus lari. Tak sabar nak naik kapal terbang. Comel lah semua. Terbaik lah,” ujar Ninie Zahra. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI