PETALING JAYA – Penjelasan penceramah bebas, Ustaz Adnin mengenai keinginan wanita di syurga untuk mendapatkan bidadara menarik perhatian pengguna media sosial.
Seorang pengguna media sosial bertanya, mengapa al-Quran hanya menyebut tentang bidadari untuk lelaki, sedangkan tiada kisah mengenai bidadara untuk wanita?
Menjawab persoalan itu, Ustaz Adnin menjelaskan bahawa di syurga, setiap keinginan akan dipenuhi oleh Allah tanpa terkecuali, termasuk permintaan wanita terhadap bidadara.
“Dekat syurga, apa yang kita nak Allah akan beri dan apa yang kita minta pun Allah beri. Bahkan, Allah beri yang lebih indah daripada apa yang kita minta,” katanya dalam video tersebut.
Beliau juga menerangkan bahawa al-Quran tidak menyebut secara khusus tentang bidadara kerana gaya bahasa kitab suci itu sangat sopan dan sesuai dengan fitrah manusia.
“Allah tahu lelaki secara fitrah memang suka kepada wanita, jadi bidadari disebut sebagai motivasi. Sebaliknya, wanita sifatnya pemalu dan lebih jarang berbicara tentang keinginan terhadap lelaki,” jelasnya.
Tambahnya, wanita di syurga bukan sahaja mendapat segala nikmat yang mereka impikan, malah wanita solehah akan menjadi lebih cantik daripada para bidadari dan menguasai mereka.
Penjelasan itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang memuji pendekatan santai dan mudah difahami oleh Ustaz Adnin dalam menjawab persoalan agama.
Sementara itu, hantaran tersebut turut mengingatkan umat Islam agar fokus mengejar syurga dengan memperbanyakkan amal soleh di dunia. – KOSMO! ONLINE