NEW DELHI – Pasukan pakar bedah sebuah hospital di Hardoi, negeri Uttar Pradesh mengeluarkan tumor seberat 7 kilogram daripada perut seorang wanita berusia 33 tahun, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Situasi itu terbongkar apabila pesakit bernama Sahana itu mengalami sakit perut yang teruk, sukar bernafas dan membuang air kecil selama bertahun-tahun.
Hasrat Sahana untuk menimang cahaya mata juga tidak kesampaian akibat ketumbuhan tersebut.
Wanita itu disahkan menghidap penyakit ganjil selepas dibawa ke Kolej Perubatan Hardoi untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Ketua pakar bedah, Madhulika Shukla berkata, ujian ‘CT Scan’ menunjukkan terdapat ketumbuhan berukuran kira-kira 50 sentimeter panjang pada bahagian abdomen pesakit.
“Kami berjaya mengeluarkan tumor seberat 7 kilogram untuk memberikan Sahana nafas baru dan peluang untuk hamil pada masa depan.
“Pesakit kini berada dalam keadaan stabil,” kata Madhulika. – AGENSI