PETALING JAYA – Cuaca baik dan cerah dilihat berlaku di seluruh kawasan Semenanjung pagi ini ekoran tiada amaran ribut petir dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) setakat pukul 9.40 pagi.
Keadaan sama turut berlaku sekitar negeri Sabah dan Labuan.
Bagaimanapun, di Sarawak beberapa bahagian dilaporkan akan dilanda hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang yang dijangka berlarutan sehingga 12 tengah hari.
“Antara kawasan terlibat adalah Sibu (Selangau) dan Bintulu (Tatau),” lapor MetMalaysia.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter sejam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE