LAS VEGAS – Pemandu McLaren, Lando Norris mengakui bahawa dirinya mungkin belum cukup bersedia untuk mencabar Max Verstappen bagi perebutan gelaran juara dunia Formula Satu (F1) musim ini.
Norris menerima hakikat bahawa harapannya untuk memburu gelaran dunia F1 telah pudar selepas kekalahan mengecewakan di Brazil awal bulan ini.
Katanya, aksi hambar sewaktu bersaing di Litar Interlagos, Sao Paulo meragut peluangnya untuk terus membuka pertarungan gelaran dunia apabila Verstappen bangkit dari kedudukan ke-17 untuk memenangi perlumbaan tersebut di Brazil.
Norris yang memulakan perlumbaan di petak utama hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat keenam dan keputusan tersebut menyebabkan dia ketinggalan 67 mata di belakang Verstappen.
Verstappen kini selangkah untuk dinobatkan sebagai juara dunia buat kali keempat berturut-turut sekiranya beliau menewaskan Norris di Las Vegas pada perlumbaan hujung minggu ini.
“Itu adalah detik penentu bagi kejuaraan. Peluang itu sudah hampir tertutup.
“Selepas Brazil, saya rasa sangat kecewa selama seminggu kerana saya sedar segalanya kini di luar kawalan saya. Harapan untuk menang sudah hampir tiada.
“Itu adalah realiti yang sukar diterima apabila anda mempunyai harapan dan keyakinan yang tinggi musim ini
“Untuk melihatnya runtuh begitu sahaja adalah pengalaman yang sangat mengecewakan dan tidak menyenangkan. Tetapi itulah kehidupan, dan anda perlu belajar menerimanya,” kata Norris. – AGENSI