PUTRAJAYA – Kerajaan dapat berjimat hampir RM1 juta kos penerbangan bagi lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lima buah negara baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan hanya menanggung kos RM1.66 juta untuk membiayai perjalanan Anwar dan delegasi rasmi kerajaan berbanding RM2.5 juta sekiranya menggunakan pesawat rasmi.
“Untuk makluman, jumlah kos penerbangan sewaan khas pesawat Malaysia Airlines jenis Airbus A350 adalah sebanyak RM6.16 juta.
“Kos yang dibiayai kerajaan Malaysia untuk delegasi rasmi berjumlah RM1.66 juta bersamaan 27 peratus daripada kos keseluruhan, manakala delegasi perniagaan membayar 73 peratus daripada jumlah itu iaitu RM4.5 juta,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Sebelum ini, Anwar mengadakan lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November lalu atas jemputan rakan sejawatnya, Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7) di Shanghai.
Selepas itu, Perdana Menteri mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November hingga Rabu lalu.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan menegaskan perjalanan lawatan rasmi Perdana Menteri tidak dibiayai oleh mana-mana syarikat dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
“Yang berlaku adalah sewaan khas pesawat ini, pihak kerajaan mendapati ada penjimatan jika dibandingkan dengan pesawat sedia ada yang jumlah kosnya mencecah RM2.5 juta.
“(Ini) bermaksud ada penjimatan lebih RM900,000, tetapi pihak kerajaan tetap mengeluarkan kos sebanyak RM1.662 juta.
“Bagi urusan sama ada penginapan, makanan atau pengangkutan di pihak kerajaan semua diuruskan kerajaan (sendiri) atau penganjur acara seperti APEC dan G20,” katanya. – KOSMO! ONLINE