KUALA LUMPUR – Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki dalam urusan pelaburan perniagaan durian di Singapura tahun lalu.
Pekerja ladang, Elly Co, 47, dan anak lelakinya, Tee Lian Yong, 26, didakwa menipu Tan Yu Lee, 41, dalam urusan pelaburan perniagaan durian di Singapura yang tidak wujud.
Perbuatan itu menyebabkan mangsa membuat pindahan wang berjumlah RM55,000 sebanyak dua kali ke akaun bank Lian Yong di Terminal Bas Bersepadu, Bandar Tasik Selatan di sini pada 20 Jun 2023.
Dua beranak itu didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan jaminan RM6,000 ke atas setiap tertuduh.
Peguam Jason Cheong Kah Lok dan Azrie Hanafie Rosli memohon jaminan yang rendah atas alasan anak guam mereka hanya bekerja sebagai pekerja ladang durian.
“Jumlah pendapatan yang diperoleh mereka hanya berdasarkan musim durian,” kata peguam itu.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membenarkan jaminan RM2,500 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 6 Januari 2025 untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE