KYIV – Bekas komander Tentera Ukraine, Valery Zaluzhny berkata bahawa penglibatan langsung sekutu Russia, Korea Utara dalam perang ke atas Ukraine bermakna Perang Dunia III telah bermula, lapor portal berita Politico semalam.
“Pada 2024, kita benar-benar boleh percaya bahawa Perang Dunia III sudah pun bermula. Pada 2024, Ukraine tidak cuma berdepan dengan Russia.
“Askar-askar dari Korea Utara berdiri di hadapan Ukraine. Shahed (peluru berpandu Iran) membunuh orang awam Ukraine secara terbuka tanpa rasa malu,” katanya yang kini dilantik sebagai utusan Ukraine ke Britain.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah UP100 Ukrainska Pravda.
Dalam ucapannya, Zaluzhny turut merujuk kepada peluru berpandu yang dilancarkan Russia serta penggunaan senjata Korea Utara dan China dalam pencerobohan Moscow ke atas Ukraine yang bermula pada 24 Februari 2024.
Beliau memberitahu, Ukraine sudah mempunyai terlalu banyak musuh tetapi akan dapat bertahan dengan teknologi dan bantuan sekutu-sekutunya, namun tidak jelas sama ada Kyiv boleh memenangi perang melawan Russia.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memecat Zaluzhny pada Februari lalu selepas ketegangan antara mereka meningkat mengenai bagaimana perang di negara itu harus ditangani.