PASIR SALAK – Seorang lelaki Orang Asli yang dikenali Iswandi Isa, 42, dipercayai hilang semasa keluar memancing ikan di Sungai Tumboh, Kampung Gajah di sini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dilihat kali terakhir keluar dari kediamannya pada pukul 3 petang semalam.
“Pemeriksaan mendapati terdapat motosikal dan joran milik Iswandi ada di kawasan kelapa sawit berhampiran Sungai Tumboh.
“Seramai 19 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dan Seri Iskandar digerakkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan 1.05 pagi tadi dan pusat kawalan bomba (PKB) dibuka,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, usaha mengesan mangsa sedang giat dilakukan sehingga ditemukan. – KOSMO! ONLINE