KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya merampas lebih 2.5 juta batang rokok putih disyaki diseludup dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta termasuk cukai dalam dua serbuan di Rompin dan Melaka.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, rampasan pertama dilakukan pada 22 Oktober lalu di Muadzam Shah, Rompin, manakala serbuan kedua pula pada 3 November lalu di Alor Gajah, Melaka.
Katanya, dalam serbuan pertama, sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok selepas menahan sebuah lori berhampiran Batu 93, Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob, Lebuh Raya Kuantan Segamat, Muadzam Shah di Rompin.
Katanya, serbuan dilakukan pada pukul 6.50 pagi yang mana lori berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Timur menuju ke Selatan tanah air.
“Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut telah menemukan sejumlah kotak berwarna coklat yang mengandungi rokok disyaki barang larangan berjumlah 1,680,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM134,400.
“Rampasan rokok berkenaan melibatkan cukai dianggarkan berjumlah RM1,122,240 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,306,640. Pemandu lori berkenaan bagaimanapun berjaya melarikan diri,”katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Tambahnya, bagi serbuan kedua pula dilakukan di sebuah gudang di Pusat Perindustrian Alor Gajah, Melaka kira-kira pukul 4.15 petang.
“Hasil pemeriksaan ke dalam gudang berkenaan, pasukan telah menemui rokok putih berjumlah 897,800 batang yang melibatkan cukai dianggarkan berjumlah RM599,730.40,”katanya.
Mohd Asri juga berkata, secara keseluruhannya jumlah rampasan bagi kedua-dua serbuan berkenaan dianggarkan bernilai RM206,244 dengan melibatkan cukai berjumlah RM1,721,979.40. – KOSMO! ONLINE