SEREMBAN – Dua individu parah manakala tiga yang lain cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah lori dan lima buah kereta di Kilometer 274.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (Arah Utara) antara laluan Bandar Ainsdale ke Nilai, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, siasatan awal mendapati, sebuah buah lori jenis Daihatsu yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 74 tahun bersama kelindan berusia 60 tahun dalam perjalanan dari Tampin menghala ke Kajang, Selangor.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan telah hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas ke kanan jalan dan menyebabkan lima buah kereta serta serta sebuah lori berlanggar sesama sendiri.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu serta penumpang Perodua Ativa parah dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS). Tiga penumpang Perodua Myvi serta kelindan lori jenis Daihatsu cedera ringan,” katanya.
Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE