PETALING JAYA – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang ingin merentas daerah atau negeri bagi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri terlibat adalah dibenarkan dengan syarat mendapat kebenaran daripada pihak polis.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun pihak-pihak yang ingin menghulurkan bantuan tersebut adalah digalakkan untuk membuat ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu bagi memastikan tahap kesihatan.
“Kerajaan tidak menghalang sekiranya ada NGO-NGO atau orang persendirian untuk membantu mangsa banjir, tetapi perlu dapatkan kebenaran pihak polis dan perlu dilaporkan di pusat pengurusan bencana daerah.
“Saya percaya mereka yang ingin membantu mangsa banjir ini sangat prihatin, tetapi adalah digalakkan membuat saringan supaya apabila ke kawasan-kawasan banjir, yang di bawah zon hijau atau di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya di Facebook Live hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan di seluruh negara, manakala pergerakan rentas daerah juga dilarang bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok. – K! ONLINE