fbpx

Laluan parit tersumbat, 2 kampung di Pasir Puteh mula dinaiki air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Samsudin (belakang) melihat cucunya meletakkan guni berisi tanah untuk menghadang air daripada masuk ke ruang tamu rumahnya di Kampung Permatang Sungkai, Pasir Puteh hari ini. FOTO TOREK SULONG/ KOSMO!

PASIR PUTEH – Lebih 500 penduduk di Kampung Permatang Sungkai dan Kampung Banggol Pak Esah di sini resah apabila sistem perparitan di kampung itu tersumbat didakwa akibat projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilaksanakan di kawasan tersebut.

Keadaan itu menyebabkan air bertakung sehingga berlakunya banjir kilat susulan hujan berterusan sejak malam tadi.

Seorang penduduk, Samsudin Makrof, 78, berkata, hujan lebat sejak semalam menyebabkan air kuning dan berlumpur mulai masuk di ruang dapur.

“Penduduk berdepan dengan banjir kilat sebanyak tujuh kali sepanjang tahun ini sekiranya berlaku hujan lebat. Keadaan dijangka lebih parah pada musim tengkujuh, katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Sungkai, di sini hari ini.

Tinjauan mendapati, penduduk dua buah kampung yang terletak di jajaran pembinaan rel ECRL kini ditenggelami air sedalam 0.6 meter.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Nazrul Kamal Mohd. Nawawi, 41, berkata, selain berdepan masalah banjir, penduduk juga sukar mendapatkan bekalan air bersih apabila air tandak yang digunakan sudah bercampur selut dan lumpur.

“Penduduk berdepan masalah banjir sejak setahun lalu apabila kerja pembinaan rel dilaksanakan. Sebelum ini, kampung kami tidak terjejas banjir kilat,” üjarnya.

Mohd. Nazrul berkata, setakat ini penduduk terpaksa menggunakan guni tanah dan lain-lain untuk menyekat air banjir masuk ke ruang tamu rumah masing-masing.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Datuk Tuan Saripudin Tuan Ismail ketika dihubungi berkata, masalah tersebut telah dikemukakan kepada pengurusan ECRL untuk mencari penyelesaian terbaik, namun masih tiada tindakan susulan dilakukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI