fbpx

JIPS guna dron pantau anggota main golf, ‘culas’ ketika bertugas -KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin ketika sidang akhbar di Pulapol Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mula menggunakan dron untuk menjalankan siasatan dan pemantauan terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak menjalankan tugas sebaiknya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, JIPS telah diarahkan untuk mengambil tindakan lebih proaktif untuk mengesan pelanggaran salah laku dalam kalangan pegawai dan anggotanya.

Katanya, JIPS juga akan menjalankan siasatan terus tanpa menunggu arahan daripada mana-mana pihak berhubung salah laku berlaku dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM.

“JIPS diarahkan lebih proaktif dalam mengambil tindakan terhadap warga PDRM yang membuat salah laku untuk memastikan tahap integriti dan tatakelola mereka berada di tahap baik.

“Sekarang, JIPS menggunakan dron untuk menyiasat mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit salah laku seperti keluar dari pejabat untuk bermain golf. Kita akan ambil tindakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) 2024 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

“Selain itu, semua pegawai JIPS di kontinjen, Bukit Aman dan daerah telah bergerak dan kita lihat pihak JIPS sendiri yang tangkap pegawai yang terlibat dengan salah laku, pergi ke karaoke, berfoya-foya, berbelanja melebihi kemampuan,” tegasnya.

Mengulas lanjut, pihak JIPS juga sudah menentukan bahawa Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam dilaksanakan terhadap penyelia yang gagal menyelia dengan baik.

“Tidak guna kalau penyelia gagal menyelia, tidak guna dia diletakkan menyelia di situ.

“Selain daripada itu, proses isytihar harta juga akan disemak oleh pihak JIPS untuk menentukan bahawa harta yang dimiliki (pegawai dan anggota polis) itu dalam kemampuannya, dia memang berkemampuan memiliki harta itu.

“Sekiranya tidak, kita akan mengambil tindakan seperti tindakan yang diambil ketika saya mula menjawat sebagai Ketua Polis Negara iaitu kita tukarkan (tempat tugas), kita arahkan untuk jual harta yang dia tidak ada kemampuan (beli) itu,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut berhubung majlis hari ini, Razarudin berkata, ia merupakan kali pertama Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) menggabungkan empat PULAPOL iaitu PULAPOL Kuala Lumpur, Segamat, Dungun dan Bukit Sentosa.

“Penganjuran perbarisan tamat latihan PDRM, istiadat pada kali ini menghimpunkan sejumlah 1,747 pelatih PLAK Inspektor, Sarjan dan Konstabel dari empat Pulapol.

“Barisan pelatih pada hari ini terdiri daripada pelatih PLAK Inspektor seramai 339 orang, PLAK Sarjan (293 orang) dan PLAK Konstabel (1,115 orang),” katanya.

Menerusi ucapan pagi tadi, Razarudin menegaskan kepimpinan PDRM tidak akan berkompromi dengan warga pasukan yang terlibat dalam jenayah atau salah laku.

“Arahan Ketua Polis Negara Bilangan 191 mengenai ‘Total Enforcement’ ke atas Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 perlu dipatuhi sepenuhnya.

“Arahan ini menekankan aspek penyeliaan oleh pegawai polis, antaranya menerusi pelaksanaan Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) PDRM secara ‘close monitoring’,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI