PETALING JAYA – Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menawarkan penukaran topi keledar baharu pada Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 diserbu ratusan pengunjung sejak pagi tadi.
Tinjauan Kosmo! mendapati, orang ramai sanggup beratur panjang seawal pukul 8.30 pagi sambil membawa topi keledar lama selain telah rosak untuk ditukarkan secara percuma kepada helmet baharu.
Difahamkan, kaunter dibuka bermula pukul 9 pagi dan penukaran dihentikan beberapa jam selepas itu, sebelum disambung pada sesi sebelah petang.
Seorang pengunjung, S. Punitan, 29, berkata, dia datang dari Segambut untuk menukar topi keledar lama yang telah digunakannya lebih 10 tahun.
“Saya beratur dalam pukul 9.30 pagi dan selesai pertukaran semua dalam pukul 11 pagi. Servis semua lancar, tapi kasihan juga ada yang tak dapat dan mereka sambung sesi seterusnya,” katanya ketika ditemui di sini.
Sepanjang tiga hari program di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini bermula hari ini hingga Ahad, JPJ menyediakan sebanyak 5,000 unit topi keledar baharu untuk ditukarkan kepada pengunjung.
Bagi sesi hari ini, sebanyak 750 unit topi keledar disediakan pada sebelah pagi dan 750 unit lagi pada sesi sebelah petang.
Program 2TM dengan tema ‘Madani di Hati, Rakyat Disantuni’ berlangsung dari 9 pagi hingga 6 petang menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada kementerian, agensi serta jabatan kerajaan kepada rakyat.
Selain itu, pelbagai aktiviti dan tawaran menarik menanti orang ramai antaranya reruai usahawan serta Jualan Rahmah Madani.
Program tersebut menyasarkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 pagi esok. – KOSMO! ONLINE