PETALING JAYA – Kehidupan doktor selebriti, Dr. Say Shazril sekali lagi diuji apabila pembantu rumahnya bertindak kasar ketika menjaga anak bongsunya yang masih 10 bulan.
Dr. Say menerusi pendedahan di Instagramnya semalam, dia memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan pembantu rumah terbabit membiarkan anak ketiganya tergantung dalam tempoh yang lama sehingga si kecil itu kelihatan tidak bermaya.
Lebih mencemaskan lagi, wanita warga asing itu turut menggoncang badan serta menekan dada bayi tersebut berulang kali.
“Ramai orang cakap bila ada helper (pembantu rumah) ini ‘kena tutup sebelah mata’ dan ya kebanyakan masa memang saya tutup sebelah mata.
“Kami bagi dia peluang kedua lepas kejadian bawak masuk lelaki dalam rumah, sebab sebelum kejadian itu, dia baik orangnya.
“Rupanya makin menjadi. Helper (pembantu) ini sama sahaja tak kira dari Indonesia atau Filipina. In the end its all about (akhirnya semua berkaitan) perangai individu itu tak kisah dari mana mereka datang,” katanya.
Tambah Dr. Say, semalam dia juga telah mengadakan pertemuan dengan pihak agensi dan kedutaan Filipina bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Maid (pembantu rumah) Filipina itu saya telah tamatkan khidmatnya dan pulangkan kepada agensi dan sebagai pengajaran saya tidak akan letak kepercayaan 100 peratus kepada pembantu Indonesia yang masih ada di rumah.
“Selepas ini kalau saya dan isteri nak pergi bercuti atau ada kerja di luar kawasan, kami akan bawa semua anak sekali atau letak anak di rumah keluarga sekali pembantu rumah. – KOSMO! ONLINE