JOHOR BAHRU – Pengendali Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers), Wan Mustaffa Wan Ismail berharap ura-ura bahawa kelab itu akan dijual dengan nilai RM3.5 juta dapat direalisasikan.
Wan Mustaffa berkata, terdapat beberapa pihak yang menyatakan minat untuk membeli kelab tersebut sejak tahun lalu apabila layak ke Liga Super dan beberapa proses sudah dilaksanakan untuk mengambil alih kelab tersebut.
“Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian dan kali ini cakap-cakap kedengaran lagi. Saya bukanlah orang yang tepat untuk memberi kenyataan cuma berharap jika ada yang berminat, biarlah dilakukan sebaiknya.
“Jangan pula bila sudah diambil alih dan memegang jawatan lupa tugas hakiki. Pemain harus diberi keutamaan dari segi latihan dan fasiliti yang lengkap selain bayaran gaji yang setimpal malah perlu dibayar tepat pada masanya,” katanya.
Menurut Wan Mustaffa, jadikan Johor Darul Ta’zim (JDT) tauladan, cara mereka menguruskan kelab yang sentiasa mengutamakan kebajikan pemain dan mengurus kelab itu sebaik mungkin dari aspek kewangan dan pentadbiran.
“Pemain yang ada di dalam kelab merupakan nadi utama sesebuah kelab kerana tanpa pemain maka tiada pegawai dan jurulatih dalam kelab,” katanya.