fbpx

Pengunjung cadang diskaun saman 60 peratus diperluas ke semua balai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Orang ramai menggesa diskaun saman 60 peratus yang ditawarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 dibuka kepada semua balai polis di seluruh negara.

Ini kerana kata mereka, tidak semua dapat berkunjung ke Pusat Kovensyen Kuala Lumpur (KLCC) akibat kekangan kerja dan keadaan jarak yang jauh bagi yang berada di luar ibu kota.

Malah kata mereka, jika diskaun saman itu boleh dibayar menggunakan perkhidmatan online (dalam talian) adalah lebih baik dan menjimatkan masa.

Menurut seorang pengunjung yang dikenali sebagai Fandi, 38, dia hadir ke program tersebut kira-kira pukul 7 pagi.

“Saya datang awal supaya dapat nombor giliran awal kerana nak masuk kerja pada pukul 10 nanti. Tetapi waktu datang pukul 7 pun sudah ada yang beratur.

“Alhamdulilah semua 10 saman saya sudah dibayar dan kini saya lega kerana sudah tidak mempunyai saman. Tetapi alangkah bagusnya jika saman ini (dengan diskaun) boleh dibayar di mana-mana balai atau secara ‘online’,”katanya yang datang dari Putrajaya ketika ditemui Kosmo!

Sementara itu, bagi seorang warga emas dikenali sebagai Mohamed Naguid Adnan, 64, berkata, dia hanya menunggu kira-kira sejam untuk menyelesaikan satu saman.

Katanya, kaunter khas untuk warga emas yang disediakan PDRM sangat membantu terutamanya individu sepertinya.

“Senang apabila ada kaunter khas (kaunter warga emas), tidak payah tunggu lama. Saya harap program ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang,”ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, PDRM menawarkan diskaun kompaun hingga 60 peratus bersempena dengan program 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang akan berlangsung di KLCC selama tiga hari bermula hari ini.

Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Fairul Nizam Che Rus berkata kadar diskaun tahun ini meningkat berbanding 50 peratus yang ditawarkan pada program tahun lepas.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI