fbpx

Jangan terlibat rasuah bila di luar nanti – Razarudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin ketika kawalan kehormat di Dataran Pulapol Kuala Lumpur hari ini. FOTO oleh IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – “Semua diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk salah laku termasuk rasuah apabila berada di luar nanti”.

Demikian tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika berucap di majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.

Katanya, seramai 1,747 pelatih PLAK yang terlibat hari ini terdiri daripada 339 Inspektor, Sarjan (293) dan Konstabel (1,115) dari empat buah Pulapol iaitu dari Pulapol Kuala Lumpur; Dungun,Terengganu; Bukit Sentosa, Rawang, Selangor dan Segamat, Johor.

“Kerjaya polis antara kerjaya yang sangat mencabar dan memerlukan pengorbanan yang amat besar dari segi masa mahupun tenaga.

“Oleh itu, diharapkan agar tuan-tuan dan puan-puan dapat menggalas amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan profesional dan berkualiti dalam melindungi negara bagi menjamin masyarakat selamat, aman dan sejahtera.

“Peringatan agar tuan-tuan dan puan-puan untuk mengambil berat tentang aspek keterampilan diri yang merupakan antara faktor penting yang perlu ditonjolkan semasa menjalankan tugas,” tegasnya.

Menurut beliau, keterampilan diri menjadi tanggapan pertama pelanggan sekali gus mencerminkan kredibiliti serta keupayaan pegawai terutamanya ketika berurusan dengan masyarakat.

Selain melambangkan identiti Polis Diraja Malaysia (PDRM), penampilan segak dan cergas mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti kerja dan imej pasukan.

“Sebagai pegawai polis, perlu memahami peranan dan tanggungjawab kita dengan jelas sepertimana yang termaktub di dalam Akta Polis 1967.

“Pegawai polis adalah ‘role model’ kepada masyarakat, justeru dinasihatkan sentiasa menjauhkan diri daripada segala bentuk salah laku yang boleh mencemar nama baik pasukan,” jelasnya.

Jelasnya, tamatnya program latihan ini hanya satu langkah permulaan dalam kehidupan sebagai warga Sang Saka Biru.

“Semasa bertugas di lapangan, pelbagai cabaran akan dilalui yang akan menguji mental, emosi, semangat serta prinsip hidup tuan-tuan dan puan-puan.

“Adalah diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk salah laku termasuk rasuah apabila berada di luar nanti,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sejak tahun 2020 hingga kini, PDRM telah menerima sejumlah 299,296 permohonan.

“Daripada jumlah tersebut, hanya 19,283 atau 6.4 peratus pemohon telah berjaya dan dilantik menjadi Pegawai Polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI