fbpx

Pelajar IPTS didakwa sebabkan kematian rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ashveenk ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. FOTO AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Seorang pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian rakannya, minggu lalu.

Tertuduh, S. Ashveenk Sukanthiraan, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Norazlin Othman.

Ashveenk yang merupakan pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi tersebut didakwa telah menyebabkan kematian seorang lelaki, S. Preessanth, 31, dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh yang mungkin menyebabkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di rumahnya di Seksyen 32 di sini, antara pukul 3 hingga 8 pagi pada 13 November lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin tidak menawarkan jaminan susulan kejadian berlaku di rumah tertuduh dengan saksi-saksi adalah termasuk ibu bapa dan adik-beradik serta pembantu rumah tertuduh.

“Memandangkan tinggal bersama ada risiko tertuduh menganggu atau mempengaruhi semua saksi.

“Namun, sekiranya dibenarkan jaminan dengan budi bicara, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM200, 000 bersama dua penjamin warga tempatan dan dua syarat tambahan yang biasa,” katanya.

Peguam Carmen Eu Kah Mun dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya yang masih bujang merupakan pelajar yang perlu hadir ke kelas secara fizikal selain mempunyai peperiksaan dan ujian makmal.

Tambahnya, anak guam juga menjadi ‘tutor’ (pengajar) sambilan dalam subjek Biologi dan Matematik Tambahan sebagai wang sakunya.

“Tertuduh juga mempunyai penyakit asma dan gastrik selain kesan kesakitan masih dirasai akibat kemalangan jalan yang mengakibatkan patah bahu dan lapan tulang rusuk.

“Kalau jaminan tinggi akan jadi tanggungan kepada anak guam kami dan terpaksa duduk dalam penjara sepanjang perbicaraan. Jadi mohon ikat jamin sebanyak RM10, 000,” jelasnya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM30,000 bersama dua penjamin selain syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran, tidak menganggu saksi dan menyerahkan pasport sekiranya ada kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan 26 Disember depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI