PETALING JAYA – Sepasang kekasih berusia 15 tahun menjadi tumpuan ramai apabila remaja perempuan tersebut memuat naik borang nikah di TikTok baru-baru ini.
Menerusi perkongsian remaja itu, terdapat dua keping gambar pasport pasangan terbabit dengan berlatar belakangkan borang pendaftaran perkahwinan mereka.
Semakan pada maklumat di borang, pasangan remaja itu hanya memiliki pendidikan di tahap sekolah rendah.
Sementara itu, rata-rata meluahkan kebimbangan berhubung masa depan pasangan muda tersebut apabila mereka dilihat lebih memilih untuk mendirikan rumah tangga berbanding pembelajaran dan kerjaya yang stabil.
Sebahagian netizen turut mempersoalkan adakah pasangan itu mampu bertahan dalam suasana kos sara hidup yang tinggi ketika ini selain impak terhadap perkahwinan muda apabila statistik perceraian menunjukkan pasangan muda adalah paling tinggi bercerai.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan kadar perceraian yang tinggi di negara ini berlaku dalam kalangan ‘keluarga muda’ iaitu perkahwinan di bawah usia 10 tahun.
Beliau berkata, ia mengambil kira purata usia rakyat Malaysia yang memasuki ikatan perkahwinan pada usia antara 27 dan 28 tahun.
Ini kerana, kebanyakan pasangan di dalam fasa memilih untuk kahwin muda tidak memikirkan tentang komitmen yang perlu ditanggung kelak.
“Dua-dua bakal suami isteri sekolah tak habis. Moga ade usaha cari ilmu keibubapaan dan rumah tangga . Faham tanggungjawab dan sebagainya, andai dapat zuriat suatu hari nanti, semoga dapat dibentuk dengan baik si anak. Allah dah susun jalan kehidupan dia, siapa la kita nak halang,” kata Nora Afii.
“Ikutkan masih sekolah tapi dah kahwin macam mana urus kewangan? Nak kerja pun belum 16 tahun lagi. Jadi memang mak ayah kena tanggung lah. Semoga Allah mudahkan segala urusan kalian,” ujar Eika.
“Awak muda setahun dari umur saya kahwin dik. Akak kahwin umur 16 tahun . Peduli la apa orang nak kata, benda baik dan jangan pandang sebelah mata orang kahwin muda ini. Dah jodoh kita awal,” kata Kekda. – KOSMO! ONLINE