TANJUNG MALIM – Tiga individu termasuk pasangan suami isteri berhadapan hukuman mati setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Slim River di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 51.97 kilogram (kg).
Tertuduh, Mohammad Amirul Samsudin, 27, dan isteri, Zaharah Farhana Zamri, 26, serta rakan mereka, Muhammad Firdaus Nazeri, 25, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret G. Phulrani Kaur.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 51,974 gram di lot tempat letak kereta sebuah pasar raya di Pusat Perniagaan Slim Perdana, Slim River pada pukul 3.35 petang, 11 November 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azahar manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Januari depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan ketiga-tiga tertuduh tidak ditawarkan jaminan.
Menerusi laporan media pada 14 November lalu, seorang lelaki yang bertindak sebagai ‘transporter’ dengan menerima upah sebanyak RM2,000 bagi kerja-kerja menyeludup dadah ditahan bersama isteri dan rakannya pada 11 November lalu. – KOSMO! ONLINE