KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam melengkapkan siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock selepas mendapat arahan mahkamah, semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan akan mendapatkan keterangan dari saksi-saksi baharu yang boleh memberi nilai tambah kepada siasatan berkenaan.
“Kita memang telah tubuhkan USJT (Unit Siasatan Jenayah Terkelas) yang akan menjalankan siasatan berkenaan seperti arahan yang diberikan oleh mahkamah.
“Tempoh enam bulan yang diberikan untuk selesaikan siasatan ini juga boleh dicapai. Kita patuh dengan arahan ini tetapi perbincangan tentang keterangan-keterangan yang sedia ada dengan pihak Jabatan Peguam Negara sangat penting bagi polis untuk teruskan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) 2024 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan PDRM diminta untuk melengkapkan siasatan kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan selepas 15 tahun.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Beng Hock bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya pihak polis melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka, pada tahun 2009.
Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Pada waktu kejadian mendiang merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang ketika itu adalah Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor. – KOSMO! ONLINE.