KUALA KRAI – Seramai 39 orang termasuk 18 kanak-kanak yang menyertai rombongan sekolah berdepan detik cemas selepas mereka terperangkap dalam kejadian kepala air di Gua Ikan, Dabong di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.24 petang itu, kesemua mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak yang berusia antara 6 hingga 8 tahun bersama 21 orang dewasa dipercayai guru iringan berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.
Kejadian disedari oleh seorang kakitangan Majlis Daerah Dabong (MDB), Siti Nor Atirah Osman, 24, yang menerima panggilan telefon daripada salah seorang guru wanita kira-kira pukul 3.20 petang.
Menurut Siti Nor Atirah, guru terbabit yang dalam keadaan cemas memaklumkan rombongan tersebut dari Kuala Berang, Terengganu terperangkap selepas kejadian kepala air.
“Guru itu turut memaklumkan bahawa titi yang merupakan laluan masuk ke Gua Ikan tenggelam selepas hujan lebat. Saya terus bergegas bersama beberapa kakitangan sebelum menghubungi pasukan bomba dan penyelamat.
“Kami tidak mengetahui rombongan berkenaan masuk ke Gua Ikan. Mereka sepatutnya memaklumkan kepada MDB sebelum masuk ke kawasan itu,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.- KOSMO! ONLINE