fbpx

DRB-HICOM rekod untung RM282.56 juta sembilan bulan pertama 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wisma DRB-HICOM, Shah Alam.

PETALING JAYA – DRB-HICOM Berhad melaporkan keuntungan pra-cukai sebanyak RM282.56 juta bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024 (9BTK2024), disokong oleh hasil yang stabil sebanyak RM12.23 bilion.

Ia merupakan peningkatan hasil marginal sebanyak 1.2 peratus berbanding tempoh yang sama berakhir pada 30 September 2023.

DRB-HICOM dalam satu kenyataan berkata, pada suku yang dilaporkan, sektor Automotif dan Pos mencatat penurunan hasil, yang mana sektor Automotif menghadapi penurunan jumlah jualan kenderaan akibat persaingan yang semakin sengit dalam pasaran kenderaan tempatan.

Sementara sektor Pos mencatat penurunan hasil terutamanya akibat penurunan perniagaan antarabangsa dan jumlah mel pukal dalam segmen perniagaan mel, disebabkan oleh penurunan volum rentas sempadan berikutan kemelesetan dalam seluruh industri.

“Walaupun menghadapi cabaran, Kumpulan mencatat pertumbuhan hasil dalam sektor utama lain, termasuk sektor Perbankan yang menyaksikan hasil meningkat 26.2 peratus kepada RM1.59 bilion bagi 9BTK2024 berbanding tempoh sama tahun lalu, dipacu oleh pendapatan pembiayaan lebih tinggi, pertumbuhan mampan, dan pangkalan pelanggan yang berkembang.

“Hasil sektor Aeroangkasa dan Pertahanan meningkat 24 peratus kepada RM584.05 juta (9BTK2023: RM470.83 juta), mencerminkan peningkatan dalam penghantaran pesawat jenis lorong tunggal dan komponen pesawat terpilih.

“Sementara itu, hasil sektor Perkhidmatan meningkat 13.4 peratus kepada RM691.50 juta (9BTK2023: RM609.93 juta), disokong oleh peningkatan aktiviti katering dalam penerbangan dan perkhidmatan pengendalian darat, selaras dengan pemulihan dalam industri perjalanan udara,” katanya.

Kumpulan mengekalkan prospek yang memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI