SEPANG – Seramai 18 pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dibuang kerja bagi tempoh antara 2021 hingga kini.
Pengarah Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ibrahim Mohd Yusof berkata, kesemua mereka itu didapati telah melakukan pelbagai kesalahan jenayah termasuk rasuah dan dadah serta jenayah-jenayah lain.
Beliau berkata, pihaknya tidak pernah kompromi dalam kes-kes jenayah berkenaan terutama membabitkan anggota JIM.
“Selain tindakan buang kerja, ada kakitangan yang ditahan gaji serta ditangguh kenaikan gaji dan pangkat,” katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra JIM KLIA bersama pengamal media di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan KLIA bersih dari segala aktiviti jenayah termasuk rasuah.
Ibrahim berkata, pihaknya juga sedaya upaya akan menutup segala ruang jenayah yang ada terutama membabitkan kakitangan dan pegawai JIM sendiri. – KOSMO! ONLINE