PARIS – Gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) membidas kenyataan Barcelona yang mendakwa mereka telah mengemukakan tawaran lumayan kepada bintang berusia 17 tahun kelab berkenaan, Lamine Yamal.
Penasihat kepada Presiden Barcelona, Joan Laporta iaitu Enric Masip baru-baru ini mendedahkan kepada rancangan televisyen popular Sepanyol, El Chiringuito bahawa Yamal telah menerima tawaran mewah bernilai €250 juta (RM1.18 bilion) daripada PSG.
Bagaimanapun, PSG mendakwa kenyataan tersebut adalah 100 peratus tidak benar selain menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membuat bidaan sebanyak itu.
Spekulasi berkenaan hangat diperkatakan memandangkan PSG kini terdesak untuk mencari pengganti kepada Kylian Mbappe yang meninggalkan Les Parisiens dengan menyertai Real Madrid secara percuma awal musim ini.
Selain Yamal, PSG turut dikaitkan dengan beberapa nama besar termasuk Victor Osimhen, Khvicha Kvaratskhelia dan Julian Alvarez, namun kesemuanya gagal menjadi kenyataan.
Drama antara Barcelona dengan PSG sejak kebelakangan tahun ini menjadi semakin memuncak susulan beberapa keputusan memalukan dialami juara Perancis itu selain The Catalans juga kehilangan ramai bintang yang berhijrah ke kota Paris.
Ketegangan itu bermula dengan perpindahan mega Neymar ke PSG bernilai €222 juta (RM1.04 bilion) pada 2017 diikuti keputusan mengejut Lionel Messi berkelana ke Parc des Princes secara percuma selepas tamat kontrak bersama Barcelona.
Sebagai rekod, Yamal ketika ini mempunyai kontrak bersama Barcelona sehingga 2026 selain turut memiliki klausa perpindahan yang cukup tinggi bernilai €1 bilion (RM4.72 bilion).
Difahamkan, wonderkid Sepanyol itu berkemungkinan besar menandatangani kontrak baharu bersama Barcelona apabila genap usia 18 tahun pada 13 Julai 2025. – AGENSI