PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan Qatar meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bekerjasama merangka program pembanterasan rasuah di negara-negara Islam.
Beliau berkata, perkara itu menunjukkan Malaysia bukan sahaja telah meningkatkan imej negara dari segi indeks persepsi rasuah malah mendapat pengiktirafan dari negara lain.
“Minggu depan, kerajaan Qatar telah meminta rombongan yang diketuai oleh seorang menteri dan SPRM untuk bekerjasama dalam merangka program membanteras rasuah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung pencapaian kerajaan Madani setelah mencapai usia dua tahun.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan kerajaan akan terus memerangi rasuah termasuk yang didakwa melibatkan ADUN Sabah baru-baru ini.
“Saya tahu bukan mudah untuk memerangi rasuah lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan golongan kaya kerana penyokong mereka yang ramai.
“Tetapi, saya telah dimaklumkan oleh SPRM bahawa ini akan terus disiasat termasuk kes baru-baru ini yang dibangkitkan di Sabah, suruhanjaya itu berkata mereka akan meneruskan siasatan dengan ADUN dipanggil. Tetapi itu sahaja maklumat yang boleh saya kongsikan,” katanya.
Beliau menegaskan dakwaan bahawa terdapat usaha untuk menutup atau menghalang penyiasatan adalah tidak benar sama sekali. – KOSMO! ONLINE