KAJANG – Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Rinching dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Reko merangkul anugerah sekolah holisitik bagi peringkat Daerah Hulu Langat.
Guru Besar SK Bandar Rinching, Azril Sham Mohamed berkata, anugerah tersebut merupakan satu pencapaian membanggakan yang dinilai berdasarkan keseimbangan daripada aspek kokurikulum, kurikulum dan sahsiah murid.
“Ini bermakna, pencapaian yang telah kita capai sama ada di peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa, menunjukkan hasil kemenjadian murid.
“Justeru, saya sangat bersyukur dan teruja di atas penghargaan ini,” katanya ketika ditemui pada Hari Anugerah Kualiti dan Apresiasi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat 2024 di Dewan Seri Cempaka, di sini hari ini.
Katanya, SK Bandar Rinching juga merupakan Ikon Anugerah Khas Penghijauan Peringkat Kebangsaan dan pernah mengungguli pertandingan tarian peringkat kebangsaan di Turkiye.
Mengulas lanjut, Azril Sham yang juga penerima Anugerah Kualiti Guru Besar (SK) berkata, dia sentiasa berusaha melaksanakan perkongsian pengetahuan untuk menambah baik mutu pendidikan di sekolah.
“Apa sahaja ilmu atau program yang saya laksanakan, saya akan berkongsi dengan semua sekolah bagi membangkitkan semangat dalam kalangan guru besar dan pengetua.
“Selain itu, pihak sekolah juga harus memberi peluang kepada pihak luar untuk berkerjasama kerana sekolah ini bukan kita punya sahaja, tetapi komuniti juga memainkan peranan penting untuk menghasilkan sebuah sekolah yang berkualiti,” ujarnya.
Sementara itu, Pengetua SMK Jalan Reko, Hamidah Abdul Latif berkata, dia yang tidak menyangka akan menerima penghargaan tersebut akan menjadikan pencapaian itu sebagai penanda aras untuk masa depan.
Menurut Hamidah, langkah awal yang dilaksanakannya sewaktu memasuki SMK Jalan Reko tahun lalu adalah melaksanakan pertemuan bersama semua pentadbir dan mengumpulkan komuniti setempat.
“Kami buat semua ini sebagai satu pasukan melibatkan ibu bapa dan guru. Kita juga mempunyai kira-kira 60 agensi di bawah Muafakat Reko yang berkerjasama membangunkan sekolah dari sudut infrastruktur, akademik dan kebajikan pelajar,” katanya.
Hari Anugerah Kualiti dan Apresiasi PPD 2024 yang julung kali diadakan itu menyaksikan seramai 275 penerima anugerah melibatkan 66 sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta tiga sekolah khas serta sebuah Kolej Vokasional.
Pada masa sama, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan berkata, semua pihak memainkan peranan masing masing untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan.
“Jadi bila pengiktirafan ini dibuat secara holistik, maknanya semua pihak mampu memberi sumbangan yang terbaik.
“Daripada pelbagai anugerah yang disampaikan, saya melihat banyak peningkatan dari segi kualiti yang ditunjukkan oleh sekolah untuk memastikan institusi pendidikan di Daerah Hulu Langat dapat ditingkatkan dari masa ke semasa, jelasnya. – KOSMO! ONLINE