PETALING JAYA – Bergelar pendidik menuntut pengorbanan yang tinggi apatah lagi bagi mereka yang bertugas di kawasan pedalaman lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh.
Perjalanan guru di kawasan pedalaman Gua Musang, Kelantan yang dikongsi di Tik Tok Cikguoffroad bukan sesuatu yang mudah.
Menerusi video tersebut, kelihatan air selut melimpah di sepanjang laluan tanah merah dan balak sekali gus menyukarkan mereka bergerak menggunakan motosikal untuk memasuki kawasan sekolah yang terletak dalam hutan.
Menurut guru tersebut, mereka berdepan laluan berlopak dan lubang besar di sepanjang jalan yang dilitupi air selut selain permukaan jalan yang licin.
“Kita tak tahu lubang di mana, lopak air dekat mana,” kata guru tersebut.
Di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kagum dengan pengorbanan golongan pendidik di kawasan pedalaman.
“Kalau saya dah tak sanggup, tengok jalan pun dah bahaya. Cekal betul cikgu-cikgu ni,” kata Fazrul Hadi.
“Inilah jasa guru di pedalaman, saya sempat 13 tahun di Hulu Perak, beza betul dengan cikgu di bandar yang boleh berpakaian lawa setiap hari,” kata Cikgu Rizal. – KOSMO! ONLINE