PETALING JAYA – Nilai dagangan dua hala antara Malaysia-Vietnam yang mencecah RM80 bilion tahun lalu dan lebih 700 projek pelaburan menjadikan hubungan Malaysia dengan Vietnam terus berkembang kukuh sebagai rakan strategik dalam ASEAN dan di peringkat global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia dan Vietnam telah lama menjalinkan hubungan erat, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga dan teknologi.
Kata beliau, sempena lawatan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, TYT To Lam di Putrajaya selama tiga hari itu sekali gus menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua negara.
“Pertemuan pada kali ini akan menumpukan perbincangan ke arah meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor utama seperti bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, teknologi digital, komunikasi maklumat dan tenaga boleh diperbaharui.
“Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MATRADE dan VIETRADE serta kerjasama antara Petronas dan PETROVIETNAM yang disaksikan hari ini juga mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara untuk memajukan kerjasama dalam perdagangan dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid hari ini telah mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Istiadat Sambutan Rasmi sempena lawatan To Lam selama tiga hari ini adalah yang pertama ke Malaysia sejak beliau dilantik pada Ogos 2024 lalu.
Tambah Ahmad Zahid, lawatan pemimpin tersebut kali ini bakal membuka lembaran baharu dan mempereratkan lagi hubungan sedia ada anatar dua negara ini.
“Saya percaya lawatan ini akan membuka lembaran baharu dalam mempereratkan lagi hubungan strategik Malaysia-Vietnam, selaras dengan semangat Perkongsian Strategik dan kerjasama dalam ASEAN. Semoga hubungan akrab ini terus membawa manfaat besar kepada rakyat kedua-dua negara. Insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE