BATU PAHAT – Hasrat seorang lelaki memperoleh keuntungan lumayan hasil pelaburan bukan sahaja tidak kesampaian malah dia mengalami kerugian sebanyak RM113,000 selepas terjerat sindiket pelaburan palsu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian bermula selepas nelayan berusia 57 tahun itu menerima kiriman WhatsApp daripada nombor tidak dikenali pada 10 September lalu.
Katanya, individu tersebut menawarkan mangsa untuk menyertai pelaburan mata wang asing. Mangsa dimaklumkan pelaburan itu memerlukan modal sebanyak RM520 dan boleh menjana keuntungan tinggi.
“Mangsa yang berminat kemudian membuat bayaran permulaan sebanyak RM520 ke dalam akaun yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shahrulanuar, mangsa kemudian dimaklumkan dia memperoleh keuntungan namun dikehendaki menambah jumlah pelaburan bagi mengeluarkan keuntungan tersebut.
Pada 16 September hingga 15 Oktober lalu, mangsa membuat pemindahan wang ke dalam lapan akaun bank secara berperingkat berjumlah RM113,000 sebelum menyedari dia menjadi mangsa penipuan. – KOSMO! ONLINE