KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis yang disyaki mencuri barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta pada 1 Oktober lalu, akan dituduh esok.
Polis Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, pertuduhan akan dijalankan sekitar pukul 8 pagi di Mahkamah Kuala Lumpur.
Terdahulu Kosmo! melaporkan empat anggota polis ditahan di sekitar Setapak, di sini berhubung kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta pada 1 Oktober lalu.
Tangkapan itu hasil siasatan dijalankan susulan satu laporan daripada seorang lelaki tempatan.
Pada awalnya diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP), namun selepas memperoleh beberapa keterangan, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Tangkapan membabitkan anggota polis berpangkat konstabel hingga koperal berusia antara 28 hingga 35 tahun.
Polis juga membuat rampasan membabitkan sekeping resit dan seketul logam berwarna kekuningan dianggarkan seberat 11.52 gram. -KOSMO! ONLINE