KUALA LUMPUR – Suspek kes buli seorang penuntut tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang cedera parah akibat dipijak penuntut senior akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pertuduhan tersebut akan dilakukan pukul 9 pagi.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
“Kita telah mendapat arahan untuk pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, setakat ini, seramai 16 saksi dipanggil bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian.
Terdahulu Kosmo! melaporkan pelatih tahun satu institusi berkenaan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang selepas dibuli pelajar senior pada 21 Oktober lalu.
Rusdi berkata, ketika kejadian mangsa sedang berada di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama.
“Mangsa berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang penuntut tahun tiga.
“Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berikutan kecederaan yang dialami,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE