fbpx

DUN Selangor: Usia 10 tahun sudah hamil luar nikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Kes remaja hamil luar nikah di negeri ini dikatakan membimbangkan apabila melibatkan kanak-kanak seawal 10 tahun.

Perkara itu didedahkan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari dengan rekod Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) apabila sebanyak 555 kes berkenaan dicatatkan setakat September tahun lalu.

Beliau menjelaskan, secara pecahannya kategori umur bagi 10 hingga 14 tahun merekodkan 13 kes, manakala 15 hingga 17 tahun adalah sebanyak 157 kes.

Bagi umur 18 dan 19 tahun pula merekodkan sebanyak 385 kes.

“Berdasarkan maklumat, statistik remaja hamil luar nikah bagi negeri ini pada tahun lalu adalah sebanyak 799 kes.

“Kerajaan negeri memandang serius isu ini terutama apabila melibatkan kanak-kanak dan remaja dibawah 18 tahun,” katanya pada sesi penggulungan usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC.

Anfaal menegaskan, program itu bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada kanak-kanak dalam aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak daripada gangguan seksual.

“Ia telah dilaksanakan sebanyak 12 siri iaitu 11 program di sekolah-sekolah semua daerah di negeri ini, manakala satu program di Pusat Aktiviti Kanak-kanak Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom.

“Selain itu, ibu bapa turut didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran mendidik anak-anak tentang kaedah penggunaan teknologi digital selamat menerusi Program Kasih Keibubapaan Digital,” ujarnya.

Beliau menambah, program itu melibatkan seramai 300 orang peserta menerusi 10 siri agar dapat melindungi anak-anak dari pengaruh media sosial yang tidak sihat.

“Kerajaan negeri telah memulakan rangka kerja awal bagi melaksanakan persidangan meja buat menangani isu berkenaan yang akan dilaksanakan pada suku pertama tahun 2025.

“Ini dilakukan melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor dan Persatuan Kebajikan Bayt Al-Rahmah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI