PARIT – Kementerian Kesihatan (KKM) menyifatkan arahan baharu tambahan waktu bekerja tiga jam seminggu bagi jururawat di wad hospital di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), adalah wajar dan munasabah.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, bagaimanapun berkata pihaknya sedia mempertimbangkan rayuan berhubung isu tersebut yang melibatkan kebajikan jururawat.
“Sebenarnya, kita sudah mempertimbang kebajikan kakitangan KKM sebaiknya, (kebajikan) sudah diambil kira dan bagi waktu rehat secukupnya,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan projek Hospital Seri Iskandar (HSI)dan blok baharu Hospital Seri Manjung (HSM) oleh Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di HSI hari ini.
Menurut, Dzulkefly, walaupun jururawat perlu bekerja 45 jam seminggu mulai 1 Disember ini, berbanding 42 jam sebelum ini, waktu bekerja mengikut syif yang lebih fleksibel dapat memastikan kebajikan mereka lebih terjaga.
Ujarnya, waktu bekerja jururawat ditetapkan antara empat hingga enam hari seminggu dengan tempoh bekerja sehari tidak kurang lapan jam dan tidak melebihi 12 jam.
Pada masa sama, mereka diwajibkan berehat sejam secara bergilir dalam tempoh tersebut selain diberi cuti antara satu hingga tiga hari cuti seminggu. – KOSMO! ONLINE