SUNGAI PETANI – Seorang anggota tentera dan peniaga telur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan dengan bersenjatakan pistol di sebuah kedai menjual alat memancing pada 10 November lalu.
Tertuduh, Pegawai Waran II Mohamad Rasidi Mohd Yunus, 43, dan rakannya, Abu Bakar Safar, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sepucuk pistol di sebuah kedai menjual alat memancing di Jalan Lencongan Barat, di sini kira-kira pukul 11 pagi, 10 November lalu.
Barangan yang dilarikan adalah 15 unit mesin pancing, 10 unit rod pancing dan wang tunai RM5,000.
Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Muhammad Fitri Wan Azizan mencadangkan jumlah jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana mereka mempunyai tanggungan keluarga.
Mahkamah membenarkan setiap daripada mereka dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM20,000 dan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan. Kedua-dua tertuduh membayar jaminan dikenakan. Kes akan disebut semula pada 23 Disember depan. – KOSMO! ONLINE