DUNGUN – Kelibat seekor penyu Agar dewasa yang tersesat sehingga merayap di atas jalan raya menggemparkan pengunjung Pantai Teluk Lipat di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10 malam tersebut, penyu betina terbabit dipercayai tersesat sewaktu mendarat di pantai peranginan terbabit.
Salah seorang pengunjung, Ahmad Zaril Zainuddin, 29, berkata, dia yang sedang bersiar-siar di pesisir pantai itu terkejut melihat seekor penyu merangkak menghala ke jalan raya.
“Kami segera mengerumuni penyu itu untuk membantunya kembali menghala ke laut.
“Walaupun jarak dengan pesisir pantai tidak jauh cuma kira-kira 200 meter, ini kali pertama saya melihat seekor penyu boleh tersesat sehingga memasuki jalan besar,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu tular klip video berdurasi 32 saat memaparkan sekumpulan pengunjung Pantai Teluk Lipat membantu penyu Agar berkenaan yang tersesat kembali ke laut.
Ahmad Zaril berkata, mereka bimbang sekiranya dibiarkan, penyu itu berisiko dilanggar kenderaan yang banyak lalu-lalang di Jalan Pantai terbabit.
Tambahnya, mereka tidak berani untuk mengangkat penyu itu kerana saiznya yang besar dan bimbang boleh menyakiti haiwan reptilia berkenaan. – KOSMO! ONLINE