SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan mengikut jejak kerajaan Persekutuan bagi pelarasan gaji minimum sebanyak RM1,700 bermula tahun depan.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu berkata, antara pendekatan akan digunakan melalui penguatkuasaan undang-undang bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) selain memberikan sokongan bantuan kepada syarikat mikro, kecil dan sederhana agar dapat mengadaptasi perubahan tanpa menjejaskan operasi.
Katanya, kerjasama turut dilakukan termasuk bersama badan berkanun dan sektor untuk menggalakkan pemberian gaji yang adil dan berpatutan di samping mengambil kira keadaan ekonomi serta kadar inflasi.
“Syarikat yang mendapat kontrak kerajaan negeri juga dipastikan mematuhi gaji minimum yang ditetapkan. Namun, pelaksanaan memerlukan pemantauan berterusan dan kesedaran semua pihak.
“Kadar kenaikan gaji itu juga adalah seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan perniagaan di negeri ini,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Terdahulu, Jefri Mejan (PN – Ijok) ingin mengetahui pendekatan kerajaan negeri untuk memastikan kadar gaji minimum RM1,700 dilaksanakan di negeri ini.
Papparaidu menjelaskan, berdasarkan penemuan Survei Gaji dan Upah (SGU) dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati purata pendapatan bagi Selangor adalah RM3.737 seterusnya meletakkan Selangor di tempat ketiga purata gaji dan upah tertinggi.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, ini juga menjadikan Selangor antara negeri yang melepasi paras purata nasional pada RM3,212 selain Putrajaya, Kuala Lumpur, Labuan dan Pulau Pinang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentang Belanjawan Madani 2025 bulan lalu mengumumkan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Februari tahun depan. – KOSMO! ONLINE